mutakhir

PKZ kutip zakat, MUIP agih bantuan

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

PERMOHONAN ibu bapa kanak-kanak menghidap penyakit hidrosefalus atau kepala besar, Muhammad Adam Rayyan Rizqi Muhamad Aiman Hakim untuk bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) gagal kerana pendapatan ketua keluarga dan isi rumah tidak memenuhi syarat had kifayah.

Sumber MUIP berkata, siasatan dan maklumat diperolehi pihaknya mendapati, ibu kanak-kanak berkenaan, Nor Azira Abdullah, 21, dan suami, Muhamad Aiman Hakim, 24, yang bekerja sebagai Penolong Penyelia di kedai jualan peralatan rumah tidak dikategori sebagai asnaf fakir atau miskin yang layak untuk mendapat bantuan bulanan daripada organisasi itu.

Menurutnya, MUIP mempunyai panduan dan peraturan dalam menentukan golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat termasuk melakukan siasatan berkaitan pendapatan ketua keluarga, gaya kehidupan dan permasalahan yang berlaku dalam keluarga pemohon serta membuat lawatan ke rumah mereka yang memohon bantuan sebelum diluluskan.

“Berdasarkan siasatan kami dan maklumat diperoleh, Nor Azira Abdullah dan suaminya (Muhamad Aiman Hakim) tidak di kategori sebagai asnaf fakir atau miskin kerana pendapatan ketua keluarga dan isi rumah tidak memenuhi syarat had kifayah.

“Walaupun bagaimanapun, MUIP masih menyalurkan bantuan kewangan beberapa kali secara ‘one-off’ berdasarkan keperluan semasa. Kita juga sentiasa terbuka bagi sebarang aduan berkenaan asnaf untuk disalurkan bantuan zakat mengikut keperluan dan kelayakan.

“Bantuan berkenaan diberi melalui ibu kepada Nor Azira (Nurizah Ramli) kerana sewaktu itu anaknya tidak tinggal bersama beliau dan ibunya yang menjaga dan menguruskan anaknya (Muhammad Adam Rayyan Rizqi Muhamad Aiman Hakim),” katanya kepada NSTP, hari ini.

Muhammad Adam Rayyan Rizqi, 3, menderita penyakit itu sejak dilahirkan melalui pembedahan dengan saiz kepala 49 sentimeter.

Kanak-kanak malang itu juga pernah menjalani pembedahan memasukkan tiub di bahagian kepala yang disalur ke pundi kencing selepas dua bulan dilahirkan apabila saiz kepalanya membesar sehingga 70 sentimeter.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat PKZ, Che Samsol Ibrahim turut menegaskan bahawa PKZ negeri adalah satu entiti yang menguruskan perkara berkaitan kutipan zakat sahaja manakala agihan pula dilaksanakan MUIP.

Beliau berkata, masih ada kalangan masyarakat yang keliru dengan status PKZ dan kerap dirujuk sebagai agensi yang melaksanakan agihan zakat.

“Kita perlu perbetulkan kekeliruan ini dan saya juga tidak boleh menyalahkan mereka yang kurang memahami perkara ini seperti mana Nor Azira yang menyatakan pihak kami menghentikan bantuan tetapi sebenarnya MUIP sebagai badan yang melaksanakan agihan.

“Kebiasaannya apabila sebut zakat dan bentuk bantuan mereka terus merujuk kepada PKZ sedangkan kami hanya membuat membuat kutipan sahaja manakala agihan zakat oleh MUIP,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 7:05pm
d