mutakhir

Meningkatkan pendapatan dan kemahiran orang muda [METROTV]

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

GENERASI muda akan terus diperkasa dengan kemahiran baharu dan terkini bagi memastikan golongan itu menerima peningkatan pendapatan serta memacu negara dalam ekonomi digital.

Manifesto Barisan Nasional (BN) khas untuk generasi muda akan memulakan inisiatif itu dengan peningkatan gaji melalui intervensi untuk menambah baik pasaran gaji pekerja muda dan peningkatan gaji minimum berperingkat.

Melalui jaminan meningkatkan pendapatan dan kemahiran orang muda, golongan itu akan turut dibantu oleh syarikat yang menawarkan aturan kerja fleksibel bagi pekerja muda bertujuan membolehkan mereka menggunakan masa terluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui portal Orang-E.

Manifesto itu turut menggariskan bantuan kewangan melalui insentif MySkills khas untuk pekerja muda mempelajari kemahiran baharu secara dalam talian serta bantuan membeli perisian komputer membabitkan pekerjaan.

Sasaran lain manifesto itu adalah mengurangkan kebergantungan pekerja asing kepada 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara selain memastikan kesejahteraan pekerja dengan meningkatkan nisbah agihan pampasan pekerja kepada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Potensi sebenar industri kreatif akan turut direalisasikan sebagai sumber baharu pendapatan negara dengan memperluaskan platform dan dana.

Penekanan akan turut diberikan kepada penjagaan kesejahteraan pekerja pendapatan RM2,500 ke bawah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) melalui perluasan perlindungan insuran, pertambahan manfaat kesihatan dan kenaikan elaun sara hidup.

Selain itu, insentif khas akan turut diberikan kepada guru muda yang mengadakan kelas tuisyen tambahan selepas waktu sekolah, di samping mengurangkan beban urusan pentadbiran harian.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 9:29pm
d