mutakhir

[UPDATE] Polis: Tiada unsur jenayah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIADA unsur jenayah dalam kes seorang bayi lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan terlangkup dalam buaian di rumah pengasuhnya di Bandar Sri Saujana, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, Mikhael Sufyan Muhammad Syafiq, 10 bulan, kemudian dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat oleh doktor yang merawat mangsa di Hospital Sungai Buloh berhubung kejadian itu.

“Kami menerima laporan daripada seorang doktor wanita yang memaklumkan menerima pesakit bayi lelaki tidak sedarkan diri di wad kecemasan hospital terbabit sebelum disahkan meninggal dunia pada 2.57 petang, Jumaat lalu.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Somu berkata, pihaknya turut menerima laporan dibuat oleh bapa mangsa yang dirujuk ke Balai Polis Saujana Utama pada 4 petang, hari yang sama.

“Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dilakukan terhadap mangsa.

“Pada masa sama, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan," katanya.

Berita berkaitan

'Naluri kata dia sudah tiada...'

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 11:54pm
d