mutakhir

Budak derita barah tulang reda hilang kaki

Oleh HM Digital

Kota Bharu: “Dia (Muhamad Danial Izmir, 10) reda kehilangan kaki kanan kerana barah tulang tahap empat dihidapinya sejak dua tahun lalu dan kini merebak ke bahagian paru-paru.

“Dia menjalani pembedahan membuang kaki dari paras paha ke bawah itu semalam (kelmarin) dan hingga kini masih tidak sedarkan diri, tapi menunjukkan tindak balas positif,” kata Mohamad Azmi Hasnan, 43, bapa kepada Muhamad Danial, kanak-kanak lelaki yang menghidap barah tulang.

Mohamad Azmi dari FELDA Lakum, Lanchang, Temerloh, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu kini berada di unit rawatan rapi (ICU) terpaksa membuang kaki kanan kerana keadaan paha membengkak dan berlaku pendarahan berterusan.

Katanya, pada awalnya anaknya tidak mahu menjalani pembedahan kerana takut kehilangan kaki, namun selepas dipujuk dan memaklumkan pendarahan itu boleh membawa maut, anak bersetuju serta reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan lancar dan saya berharap barah tulang dihadapi sembuh kerana dia mahu kembali meneruskan persekolahan.

“Dia dikesan menghidap barah tulang dua tahun lalu menyebabkannya tidak mampu berjalan dan menjalani 36 kali rawatan kemoterapi hingga Jun tahun lalu. Selepas kemoterapi itu dia mampu berjalan selama dua bulan iaitu Julai dan Ogos sebelum pahanya makin membengkak dan berlaku pendarahan.

“Keadaan itu menyebabkan anak lelaki saya tidak mampu berjalan dan terlantar di tilam sebelum disyorkan membuang sebelah kaki memandangkan penyakit itu merebak ke paru-paru,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini semalam.

Menurutnya, akibat kerap berulang alik dari rumahnya di FELDA Lakum ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori awal tahun lalu.

Katanya, dia kini bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Pahang masing-masing berjumlah RM300 dan RM400 sebulan serta sumbangan kedua-dua ibu bapa yang menjadi peneroka Felda.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 8:21am
d