mutakhir

Lelaki gagal seludup dadah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

CUBAAN lelaki menyeludup dadah methamphetamine seberat 70 kilogram (kg) bernilai RM3.85 juta dengan menyembunyikannya di dalam but belakang kereta yang diubahsuai mengundang padah apabila dia ditahan, kelmarin.

Malah, suspek, 47, turut membalut dadah itu dengan plastik lutsinar seperti bungkusan teh hijau bagi mengaburi pihak berkuasa ketika membuat imbasan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Bagaimanapun, taktiknya gagal apabila pegawai Cawangan Pemeriksaan Penumpang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Bukit Kayu Hitam mengesyaki sesuatu lalu menahan kereta Mercedes Benz dipandunya pada 9.30 pagi.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu disyaki diubahsuai menyebabkan pegawainya menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam untuk pemeriksaan lanjut.

“Apabila dilihat dengan mata kasar, mungkin pegawai kita gagal mengesan apa-apa selepas membuka but belakang kenderaan itu, namun pegawai kita mempunyai cara tersendiri untuk mengesan penyeludupan atau sebaliknya.

“Pemeriksaan rapi dalam kenderaan itu menemui 70 bungkusan yang dibalut plastik lut sinar di ruang tersembunyi dalam but belakang kenderaan yang sudah diubahsuai.

“Bungkusan itu mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai RM3.85 juta dengan berat timbangan kasar sebanyak 70 kg,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat JKDM Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKDM negeri Datuk Johari Alifiah dan Penolong Kanan Pengarah Kastam II Mohamad Rushdi Abdul Majid.

Subromaniam berkata, kenderaan dan bungkusan dadah itu disita, manakala suspek kini direman selama 14 hari bermula semalam hingga 23 April ini untuk membantu siasatan.

Katanya, pihaknya percaya dadah itu dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran negara ini, namun siasatan masih diteruskan sama ada ia akan dibawa ke ibu negara atau sebaliknya.

“Ini adalah kejayaan terbesar rampasan dadah di negeri ini dan anggota kita akan berusaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah masuk ke negara ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

"Kami berharap kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan membantu JKDM dalam mencegah aktiviti penyeludupan melalui talian hotline 1800-888-855," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 7:02pm
d