mutakhir

RM1.4 bilion projek kesihatan untuk Pulau Pinang

Oleh Audrey Dermawan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan 12 projek berkaitan kesihatan bernilai hampir RM1.4 bilion dalam lawatan rasminya ke Pulau Pinang esok.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang (MTPPP), Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kebanyakan projek terbabit kini berada di peringkat pelaksanaan, pemberian tender dan proses kerja tanah.

“Semua ini adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan Persekutuan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi NST di Georgetown.

Antara projek terbabit adalah pembinaan Kolej Kejururawatan Masyarakat Kepala Batas (Bertam) dengan kos RM79 juta, kuarters Hospital Pulau Pinang (RM75 juta), Klinik Kesihatan Air Putih (RM30 juta), Klinik Kesihatan Bandar Perda (RM25 juta), Hospital Seberang Jaya (RM22 juta), Klinik Kesihatan Tasek Gelugor dan kuarters (RM21.5 juta), serta naik taraf Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (RM20 juta).

Projek lain termasuk naik taraf dua fasa Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan kos RM19.5 juta, Blok Wanita dan Kanak-Kanak di HPP (RM296.98 juta), Blok Multi-Tingkat Hospital Seberang Jaya (RM496.2 juta), Klinik Pakar dan wad Hospital Pulau Pinang (RM500 juta) dan menaik taraf perkhidmatan transplan Hospital Pulau Pinang (RM19.5 juta).

Esok Najib dijangka menghadiri Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat di Balik Pulau pada jam 3 petang dan Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Rakyat di Teluk Kumbar pada jam 8.45 malam.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kerajaan Persekutuan sudah membelanjakan hampir RM4 bilion untuk melaksanakan 175 projek daripada 12 kementerian yang berbeza di Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau berkata, selain menaiktaraf perkhidmatan kesihatan, projek terbabit juga termasuk pencegahan banjir, pendidikan, keselamatan, infrastruktur, perumahan, jahitan, dan pertanian.

“Walaupun Pulau Pinang berada di bawah kerajaan negeri yang diketuai DAP, kerajaan Persekutuan masih mengutamakan kepentingan rakyat. Ini terbukti dalam RM4 bilion yang dibelanjakan sejak lima tahun lalu.

“Malah, kerajaan Persekutuan akan melakukan lebih banyak jika diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir merintah Pulau Pinang, jika kami menang pada PRU-14 ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, kerajaan Persekutuan membelanjakan RM87 juta untuk projek tebatan banjir di Tasek Gelugor dan Sungai Kerian untuk mengurangkan masalah banjir kilat.

“Kerajaan Persekutuan juga mengumumkan peruntukan RM150 juta untuk projek tebatan banjir Sungai Pinang,” katanya.

Bagi pendidikan, Zainal Abidin berkata, sejumlah RM307 juta dibelanjakan untuk menaik taraf sekolah dan pembinaan sekolah baharu.

“Sebanyak RM141.05 juta dibelanjakan untuk perumahan awam dan RM167.69 juta bagi pertanian untuk membantu petani meningkatkan hasil mereka,” katanya.

-

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 7:06pm
d