mutakhir

Dobi layan diri meletup!

Oleh Kalbana Perimbanayagam

SEORANG pelanggan wanita di sebuah kedai dobi layan diri melecur 50 peratus selepas premis berkenaan terbakar dalam satu kejadian di Taman Jinjang, di Kuala Lumpur, jam 8 malam semalam.

Difahamkan, wanita berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pegawai Kanan City Coin Laundry Sdn Bhd Kelvin Ang berkata, pihaknya terkejut selepas mendapat maklumat mengenai kebakaran di salah sebuah cawangan dobi milik mereka.

"Berita ini memang mengejutkan kami memandangkan kami antara pelopor dalam perniagaan dobi yang sentiasa mengamalkan langkah keselamatan tertinggi di semua ‘outlet’ bagi memastikan keselamatan pelanggan kami pada setiap masa.

"Buat masa ini, kami masih tidak tahu punca kebakaran. Namun, pihak syarikat kini sedang memberi tumpuan terhadap keadaan mangsa yang melecur dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wanita tempatan itu dikatakan sedang menunggu pakaian yang dicuci di salah satu mesin di dalam kedai dobi berkenaan, sebelum api mula merebak dan memusnahkan 80 peratus premis.

Seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Sentul, Hang Tuah dan Sri Hartamas terbabit dalam operasi memadamkan api di kedai dobi itu.

Kelvin berkata, sebelum kejadian, terdapat kerja penyelenggaraan yang dijalankan di premis itu pada sebelah petang dan ia mungkin punca kebakaran.

"Secara peribadi, saya mengesyaki kebakaran ini ada kaitan dengan kerja penyelenggaraan yang dijalankan pada sebelah petang, namun pihak kami menunggu laporan forensik terlebih dahulu, selain akan memberikan kerjasama penuh kepada bomba," katanya.

Beliau berkata, syarikat berjanji untuk memberi sebarang bantuan yang diperlukan mangsa kerana ia menjadi tanggungjawab pihaknya untuk berbuat demikian.

"Kami mempunyai lebih 400 cawangan di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara dalam tempoh empat tahun. Ini adalah kejadian yang pertama," katanya.

Dalam pada itu, Kelvin berkata, kerugian dianggarkan bernilai RM300,000.

Usaha wartawan NSTP untuk menemubual wanita di HKL gagal kerana ahli keluarga memohon supaya mangsa tidak diganggu buat masa ini.

Sementara itu, gambar kebakaran mula tular di media sosial, sejak malam semalam.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 7:11pm
d