mutakhir

AKTA Antiberita Tidak Benar digazet

Oleh Hidir Reduan dan Luqman Arif Abdul Karim

AKTA Antiberita Tidak Benar 2018 digazetkan secara rasmi, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, akta itu yang diluluskan di Dewan Rakyat awal bulan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Katanya, kerajaan cakna mengenai kegusaran pengamal media mengenai penggubalan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dikatakan bakal mengekang kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

Bagaimanapun, katanya, pandangan berkenaan adalah tidak tepat kerana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digubal sebelum ini, menerusi Seksyen 8A menggariskan kesalahan menyiarkan sebarang berita palsu.

"Meskipun ada peruntukan undang-undang sedia ada, ia tidak mencukupi untuk membendung penyebaran berita tidak benar yang semakin menular susulan ledakan teknologi maklumat.

"Oleh itu, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 digubal dan saya dimaklumkan ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan digazetkan secara rasmi, hari ini," katanya di majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Najib berkata, kebebasan bersuara dan media tidak mutlak, sebaliknya hak berkenaan perlu bersandarkan tiga perkara, iaitu aspek tanggungjawab, penerbitan berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan di Malaysia.

"Kebebasan bersuara dan media tidak wajar diterjemahkan mengikut tafsiran umum atau universal serta menggunakan acuan barat yang ternyata tidak selari dengan adat resam rakyat di negara ini.

"Acuan seperti ini turut bercanggah dengan kesesuaian dan sensitiviti tempatan, selain menjurus kepada penerbitan rangkaian berita tidak benar yang berupaya menggugat ketenteraman serta kestabilan awam.

"Oleh itu, kebebasan bersuara dan media perlu ada had," katanya.

Seiring kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-14, Najib meminta pengamal media untuk tidak menjadi penyebar berita palsu semata-mata ingin meraih populariti dalam kalangan pembaca.

Beliau berkata, media sebaliknya perlu bersaing secara bermaruah dengan melaksanakan sebarang proses penerbitan menerusi pelbagai saringan bagi memastikan kesahihan berita yang akan disiarkan.

"Harapnya tiada lagi cerita pengundi hantu dari Bangladesh dan ‘blackout’ dijaja menjelang PRU-14, tetapi saya tidak begitu optimis kerana pasti akan ada bahan sensasi disajikan kepada orang ramai.

"Saya minta wartawan dengan kuasa mata pena dapat membantu kerajaan menangkis berita palsu dan menerbitkan kebenaran kepada rakyat," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 8:06pm
d