mutakhir

Bapa buntu anak nak sekolah

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Kakak nak sekolah tapi ayah tak mampu. Lagipun ayah kata tak boleh nak daftar sekolah sebab kakak tak ada surat beranak,” kata Puteri Maisara Mohd Razmi, 7, kakak sulung daripada tiga beradik yang tidak dapat bersekolah kerana masalah kewangan keluarga dan tidak mempunyai sijil kelahiran.

Malah, masalah sijil kelahiran terbabit turut dihadapi adik bongsu Maisara, Mohd Andika, 1, yang tidak dapat didaftarkan kelahi rannya selepas ibunya menghilangkan diri dan meninggalkan mereka kepada bapanya, Mohd Razmi Jusoh, 49.

Menurut Mohd Razmi, hanya anak keduanya, Mohd Affendi, 5, mempunyai sijil kelahiran manakala dua lagi anaknya tidak dapat didaftarkan berikutan beberapa masalah.

Dia yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata, masalah mengenai sijil kelahiran anaknya timbul selepas dia berkahwin dengan isterinya, Misyana Polija, 43, yang berasal dari Medan, Indonesia pada 2010.

Katanya, urusan perkahwinannya itu dilakukan menggunakan khidmat imam dari Indonesia, sekali gus menyukarkan mereka untuk mendaftarkan status perkahwinan dengan jabatan agama di negara ini.

“Selepas Andika lahir, saya dan isteri tinggal berasingan kerana isteri bekerja di pusat bandar raya Kuala Lumpur dan saya bekerja di Segambut.

“Perkara itu menyebabkan saya sukar mendaftarkan sijil kelahiran Andika kerana isteri tidak dapat hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dia sering memberi alasan sibuk dengan kerja.

“Perkara terbabit menjadi lebih rumit apabila Misyana menghilangkan diri dan gagal dihubungi sejak Februari lalu,” katanya yang kini menyewa sebuah bilik bersama tiga anaknya di Segambut Dalam, di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan untuk mendapatkan proses sijil kelahiran dua anaknya itu, JPN memerlukan ibu kepada kanak-kanak terbabit hadir bagi pengesahan dan cap jari.

“Saya harap dia dapat tampil bagi memudahkan proses mendaftarkan sijil kelahiran Maisara dan Andika selain membolehkan mereka mendapatkan bantuan persekolahan dan sebagainya,” katanya.

Mohd Razmi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Segambut Dalam berkata, dia tidak dapat mendaftarkan Maisara ke sekolah swasta kerana pendapatannya hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Saya hanya bekerja pada waktu sekolah bagi menjaga keselamatan murid-murid. Seminggu hanya dapat RM175 dan sekiranya sekolah cuti, saya tiada pendapatan.

“Hanya itu kerja yang dapat dilakukan buat ketika ini kerana saya perlu menjaga tiga anak yang masih kecil dan tidak dapat bekerja jauh dari rumah.

“Mujur Baitulmal bantu bayarkan sewa bilik yang kami tinggal sekarang dan ia sedikit meringankan beban saya.

“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) ada melawat kami dan mereka juga dalam proses menghulurkan bantuan kepada kami termasuk mendapatkan sijil kelahiran serta hak penjagaan anak,” katanya.

Sebelum ini, kisah empat beranak terbabit tular di media sosial selepas meminta bantuan kewangan untuk urusan sijil kelahiran dan perbelanjaan harian di sebuah masjid, di sini, minggu lalu.

Sementara itu, Pegawai Pelindung JKM WPKL Siti Sarah Khairul Anuar ketika ditemui berkata, pihaknya akan membantu Mohd
Razmi untuk mendapatkan hak penjagaan tiga anaknya daripada pihak mahkamah sebelum menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 9:49am
d