mutakhir

Mengaku salah tetak ayah [METROTV]

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

PENGANGGUR mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah bapa kandungnya minggu lalu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Pengakuan itu dibuat Mehamad Salmi Che Kob, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Ahmad Bazli menetap tarikh 13 Mei ini untuk hukuman kerana perlu menunggu laporan perubatan mangsa terlebih dahulu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah bapa kandungnya, Che Kob Husin, 66, menggunakan tukul, selain menetak dengan pisau pemotong daging.

Kesalahan itu dilakukan di dapur rumah yang masih dalam pembinaan, di Kampung Kuala Besar, di sini pada 10 pagi, 5 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Fellina Abu Bakar, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

NSTP sebelum ini melaporkan, anak kandung yang dipercayai menetak bapanya hingga parah ditahan polis di Jalan Dusun Muda, di sini, 12.45 tengah hari, pada 5 April lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa mahu membaiki bilik suspek dan kemudian dimarahi kerana masuk ke dalam biliknya tanpa kebenaran sebelum berlaku pergaduhan mulut antara kedua-duanya.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 2:30pm
d