mutakhir

'mquit' bantu perokok

Oleh Helmy Abd Rahman

SERAMAI 203 atau 36.5 peratus daripada 556 individu yang mendaftar program berhenti merokok ‘mquit’ di klinik kesihatan di negeri ini berjaya berhenti merokok sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri Dr Mohd Jusoh berkata, daripada jumlah itu, seramai 35 daripada 60 pelanggan iaitu 58.3 peratus yang mendaftar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berjaya berhenti merokok, menjadikan daerah ini mencatat peratusan kejayaan paling tinggi di Terengganu.

“Mengikut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada 2015, dianggarkan 22.8 peratus daripada hampir lima juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas adalah perokok.

“Seperti kita maklum, rokok adalah antara penyebab utama kepada penyakit kanser dan kerana itu Kementerian Kesihatan menyediakan pelbagai program antaranya ‘mquit’ untuk membantu perokok menangani masalah ketagihan.

“Program ini boleh disifatkan berjaya dengan peratusan yang berhenti merokok mencatat angka 36.5 peratus di Terengganu,” katanya ketika membacakan teks ucapan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar pada Sambutan Hari Kanser Sedunia dan Pelancaran Nafas Baru Bermula Ramadhan Tahun 2018 Peringkat Negeri di Pantai Batu Buruk di sini, hari ini.

Dalam pada itu Dr Mohd berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) menanggung lebih RM205 juta kos rawatan pesakit kanser di seluruh negara.

“Namun, dianggarkan antara 30 hingga 50 peratus daripada kes kanser boleh dicegah. Kanser dikaitkan dengan lima tingkah laku iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayuran; kurang aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok dan pengambilan alkohol.

“Sejajar dengan itu, Sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut bersama Pelancaran Kempen Nafas Baru Ramadan diharapkan dapat membantu perokok berhenti merokok, sekali gus mengurangkan risiko menghidap kanser,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 3:03pm
d