mutakhir

Logo PKR: Taktik tarik undi Melayu

Oleh Goh Pei Pei

KEPUTUSAN pakatan pembangkang menggunakan logo PKR jelas memperlihatkan taktik terdesak mereka untuk menawan hati pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia berikutan masih wujudnya rasa tidak selesa atau seolah-olah `taboo’ dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap logo roket digunakan DAP yang lebih bersifat dominan Cina sejak 50 tahun lalu.

Malah, timbul kebimbangan sekiranya penggunaan logo roket boleh menjejaskan peluang pakatan pembangkang meraih undi di kawasan majoriti Melayu, namun boleh mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong tegar DAP.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Jeniri Amir, berkata walaupun keputusan bersifat strategik itu boleh memberi manfaat kepada pakatan pembangkang secara keseluruhannya, namun ia menjadi risiko kepada DAP.

“Sejak 50 tahun lalu, penyokong DAP sudah biasa dengan logo roket yang menjadi ikon mereka, namun kali ini bertukar menjadi logo `mata’ digunakan PKR. Ini tentunya boleh mewujudkan kekeliruan dalam kalangan penyokong mereka, sekali gus memberi risiko kepada DAP.

“Namun, secara dasarnya, apa yang berlaku jelas memperlihatkan betapa terdesaknya pakatan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya ketika dihubungi, di Kuching hari ini.

Bagi penganalisis politik Datuk Peter Minos, keputusan berhubung penggunaan logo PKR itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli DAP, namun perlu menghormatinya demi kelangsungan pakatan pembangkang dalam mengharungi PRU14.

“Jika pakatan pembangkang mengambil serius arahan dan syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS), sudah tentu mereka boleh menggunakan logo baharu. Namun, sekarang sudah terlambat dan pilihan raya semakin hampir... DAP harus menerima hakikat itu,” katanya.

Katanya, tindakan DAP Sarawak yang kekal menggunakan logo roket jelas memperlihatkan tidak wujud kesepakatan antara kepemimpinan parti itu di negeri dan induk mereka.

“Alasan diberikan kononnya DAP Sarawak memiliki kuasa autonomi mengekalkan penggunaan logo roket. Sebenarnya, DAP Sarawak mengetahui dan memahami bahawa mereka tidak boleh terlalu tunduk kepada kepemimpinan parti itu di Semenanjung.

“Lagipun, DAP Sarawak mengetahui rakyat di negeri ini tidak begitu berminat dengan mana-mana parti politik dari Semenanjung disebabkan pengaruh sentimen tempatan,” katanya.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) tidak berdepan masalah dalam penentuan logo digunakan kerana adanya permufakatan dan kesepakatan dalam parti berkenaan, malah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan menghormati keputusan kepemimpinan.

“Hanya dengan mengetepikan kepentingan peribadi, parti boleh kekal kuat dan terus maju dan berkhidmat kepada rakyat dengan cara yang betul,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 5:31pm
d