mutakhir

Bakpo kerah pedal lagi

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

WANITA berpakaian tidak sopan termasuk ketat hingga menampakkan sebahagian aurat mereka dianggap sebagai satu kesalahan di Kelantan.

Berikutan itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) boleh mengambil tindakan terhadap mereka termasuk wanita dari luar Kelantan.

Menurut sumber, ia bagi memberi pengajaran kepada golongan wanita supaya sentiasa menjaga aurat mereka.

“Tindakan terhadap pesalah berpakaian tidak sopan termasuk berpakaian ketat boleh dilakukan oleh JAHEAIK dan juga MPKB.

“Ada kalanya JAHEAIK dan MPKB yang menjalankan operasi tidak mengeluarkan sebarang saman, tetapi hanya membuat teguran.

“Tetapi ada ketikanya, pihak berkuasa terbabit akan mengeluarkan notis supaya wanita terbabit hadir sesi kaunseling,” katanya.

Menurutnya, mereka dengan sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985, dan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan, jika sabit kesalahan.

Katanya, pihak berkuasa agama negeri sentiasa melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk mengesan mereka yang melakukan kesalahan berkenaan.

“Seperti yang ditular baru-baru ini, satu operasi bersama antara JHEAIK dan MPKB dijalankan pada 23 Mac lalu dan hasilnya, sebanyak 14 kes termasuk wanita berpakaian ketat diambil tindakan.

“Selain daripada kes pakaian ketat, beberapa kes lain termasuk khalwat dan juga minum minuman keras juga diambil tindakan," katanya.

Katanya, operasi membabitkan 20 anggota JHEAIK dan MPKB dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu seperti Limau Manis, Lembah Sireh, Jalan Airport, Taman Maju, Taman Uda Murni, Wakaf Mek Zainab dan Taman Maju.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 6:38pm
d