mutakhir

Perjalanan 'bayya' berakhir di sini...

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PERJALANAN puluhan warga Bangladesh yang sanggup berhimpit dalam sebuah bot pom-pom untuk menyusup masuk ke negara ini berakhir apabila ditahan pihak berkuasa di perairan Sabak Bernam, hari ini.

Difahamkan, seramai 32 lelaki dan dua wanita berada dalam bot berkenaan selama lebih 24 jam selepas berlepas dari Indonesia sejak malam kelmarin.

Mereka yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) dikatakan sedang menuju ke Sabak Bernam dengan turut 'dikemudi' dua lelaki warga Indonesia sebagai tekong dan awak-awak.

Tindakan nekad mereka, bagaimanapun dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman selepas menahan bot itu, kira-kira 2.5 batu nautika dari Kuala Sungai Besar pada 12.05 tengah malam.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya mengesan bot pom pom KM Wahyu tanpa nombor pendaftaran itu yang didapati mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan bersama anggota D7C kemudian menemui 32 lelaki dan dua wanita asing sedang berhimpit di dalam bot berkenaan.

“Selain itu, kita mendapati bot melebihi muatan berkenaan turut dinaiki seorang tekong dan awak-awak," katanya kepada NSTP.

Katanya, mereka yang ditahan berusia 18 hingga 51 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Kita turut merampas bot bernilai RM115,000 itu untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 6:55pm
d