mutakhir

Bantu pemilik bengkel, bukan Bangla

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

NAIB Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Mutalif Rahim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini mendakwa difitnah di laman sosial Facebook menyatakan beliau membantu peniaga warga asing dari Bangladesh.

Mutalif ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan memaklumkan bahawa laporan polis itu dibuat kerana fitnah dilemparkan beberapa individu di Facebook itu jelas menjatuhkan maruah serta reputasi beliau.

Katanya, keadaan sebenarnya ialah beliau membantu seorang pemilik bengkel tempatan iaitu Azmi Abdul Malik yang mengalami kerugian selepas bengkel membaiki motosikalnya terbakar dalam kejadian jam 8 pagi, Isnin lalu.

“Tetapi, semalam saya dapati ada beberapa individu berkongsi video serta status di Facebook bahawa saya membantu peniaga asing warga Bangladesh dan mengabaikan rakyat tempatan.

“Ini jelas satu fitnah yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah saya apatah lagi pautan status serta video itu sudah dikongsi sebanyak 89,000 kali,” katanya.

Menurut Mutalif, laporan dibuat supaya polis dapat menyiasat penyebaran berita palsu itu dan berharap mereka terbabit serta sudah dikenal pasti menyebar fitnah berkenaan dapat didakwa mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang berkuatkuasa mulai semalam.

“Bagi saya itu satu tuduhan berniat jahat yang jelas dan nyata. Jadi, selaras dengan penguatkuasaan akta ituyang berkuasa kuasa semalam, saya berharap agar tindakan perundangan dapat diambil kepada mereka terbabit,” katanya.

Sementara itu, peniaga bengkel berkenaan, Azmi turut hadir sama membuat laporan polis kerana dituduh sebagai warga asing dari Bangladesh.

“Hari ini, saya datang untuk membersihkan nama saya yang dikatakan sebagai warga Bangladesh sedangkan saya adalah warganegara Malaysia.

“Saya harap, dengan laporan sokongan yang dibuat hari ini, penyebar fitnah di Facebook itu dapat diheret ke muka pengadilan sebagai pengajaran bahawa penguatkuasaan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 bukan satu perkara yang boleh dibuat main terutama apabila dengan sengaja menfitnah serta menjatuhkan maruah seseorang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

end

From: Mohd

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 9:28pm
d