mutakhir

Buka peluang jadi tauke D197

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Gua Musang: Durian musang king atau D197 yang menjadi fenomena baru sehingga mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara menyebabkan bekalannya sentiasa tidak mencukupi.

Melihat potensi yang besar, M7 Plantation Berhad yang memiliki 10,000 ekar tanah di Gua Musang, Kelantan mengembangkan projek Durian Valley yang tertumpu pada penanaman, pemasaran dan pengurusan pokok durian musang king.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Lee Chin berkata, pihaknya menyediakan model perniagaan yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki pokok durian musang king sendiri.

Durian biasanya mengambil masa empat hingga lima tahun sebelum mula berbuah. Model perniagaan M7 Plantation Berhad ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini yang mana M7 Plantation Berhad menanam dahulu pokok durian dan kemudian ditawarkan untuk dijual.

Menurut beliau, syarikat akan membangunkan 1,000 ekar tanah pada setiap peringkat dan memilih tapak yang paling sesuai untuk menanam pokok durian musang king.

“Syarikat akan menanam 1,500 pokok durian di setiap bahagian meliputi sekitar 30 hingga 35 ekar tanah,” katanya.

Di bawah projek Durian Valley, M7 Plantation Berhad akan menjual setiap pokok pada harga RM5,512 (termasuk GST dan duti setem bagi perjanjian jual beli) dan semua orang berpeluang menyertai penanaman pokok durian musang king.

Pada masa ini, M7 Plantation Berhad sudah membangunkan 200 ekar tanah di kawasan itu dengan 100 ekar ditanam pokok musang king.

M7 Plantation Berhad juga akan memberi tumpuan kepada corak tanaman bersepadu, selain durian musang king sebagai produk teras, termasuklah penanaman nanas, jambu batu tanpa biji, betik, limau kasturi dan durian belanda.

Ng berkata, sebagai contoh, daripada 1,000 ekar tanah, sebanyak 300 ekar tanah akan disediakan untuk durian musang king dan 600 ekar tanah pula buah-buahan lain untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan operasi sebelum penghasilan durian.

Ujarnya, M7 Plantation Berhad akan mempunyai 150,000 pokok durian dalam tiga hingga empat tahun akan datang melalui penanaman di tanah seluas 3,000 ekar.

Di samping Gua Musang, syarikat juga mempunyai pelan penanaman yang berbeza di Johor dan Pulau Pinang sebagai pengurusan risiko.

Dalam model perniagaan Durian Valley, pembeli dan M7 Plantation Berhad akan menandatangani perjanjian untuk setiap pokok durian musang king dan ia boleh dipindah milik.

Pembeli perlu melantik M7 Plantation Berhad sebagai pengurus untuk menjaga, membaja dan menguruskan pokok durian musang king sepanjang tempoh perjanjian selama 25 tahun.

Setiap pembelian mempunyai perjanjian jual beli dengan duti setem dan ia boleh dipindah milik.

Menurut surat pelantikan, pengurus berhak memperoleh pendapatan 50 peratus daripada hasil pokok durian.

Disebabkan hasil pokok durian berbeza bagi setiap pokok, untuk mengelakkan situasi hasil tuaian lapuk atau ketidaksamaan pendapatan, M7 Plantation Berhad akan menawarkan perkongsian sama rata pada hasil daripada 1,500 pokok yang ditanam pada sebidang tanah yang sama.

Setiap lot dianggarkan mendapat 150,000 biji durian, purata berat setiap buah pula adalah kira-kira 1.5 kilogram, manakala harga borong setiap kilogram pada RM35, supaya setiap pembeli pokok berpotensi untuk mendapat RM2,625 selepas perkongsian hasil.

Syarikat turut memberi jaminan menggantikan mana-mana pokok yang mati pada tahun pertama.

Manakala, jaminan bayaran balik sehingga RM5,000 dengan mengambil kira semua wang yang dibayar oleh M7 Plantation Berhad kepada pembeli sekiranya pokok itu mati antara tahun kedua hingga kelima.

Ng berkata, pembeli berhak memilih untuk memperoleh pulangan selepas penjualan hasil buah durian musang king ataupun menikmati buah durian itu sendiri.

Bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan pengeluaran durian, M7 Plantation Berhad bekerjasama dengan sebuah universiti terkenal di Taiwan dengan memperkenalkan teknik penanaman durian pertama di dunia melalui sains dan teknologi.

“Di sini kami mempunyai tanah yang subur dan juga ruang bagi mereka untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.

Teknologi ini mempunyai kadar kejayaan 99 peratus untuk menghasilkan pokok yang sihat.

Menurut beliau, pasukan penyelidik itu juga boleh menghasilkan baja lebih baik untuk memastikan kualiti buah durian secara berterusan.

M7 Plantation Berhad sentiasa memastikan model perniagaan itu dilaksanakan dengan telus apabila setiap pokok akan diberi tanda nama dan terdapat kamera litar tertutup (CCTV) untuk pembeli melihat sendiri perkembangan pokok yang dibeli pada bila-bila masa melalui portal yang disediakan.

Bagi menyokong dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan, pihak M7 Plantation Berhad merekrut ramai penanam durian dari Bentong dan Raub, Pahang.

Syarikat juga menyediakan peluang pekerjaan bagi Orang Asli tempatan.

Pihak M7 Plantation Berhad berharap projek Durian Valley akan menarik perhatian lebih ramai pembeli tempatan.

Sementara itu, M7 Plantation Berhad turut membuka peluang kepada pembeli asing.

“Bagi pembeli luar negara, pembeli China menguasai bahagian terbesar, diikuti oleh pembeli dari Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Iran.

“Buat masa ini, satu syarikat di Taiwan dilantik menjadi pengedar eksklusif untuk pasaran seluruh Taiwan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi 03-21103730/012-2376877 (WhatsApp) atau melayari lawan web www.durianvalley.com.my atau berkunjung ke Lot L7-4, Level 7, Pavillion Tower, 75, Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 6:59am
d