mutakhir

Chegu Bard mengaku tak bersalah [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

BEKAS Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas tuduhan mengeluarkan artikel menghasut mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di laman sosial Facebook (FB) pada Januari lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dikenali sebagai Chegu Bard mengeluarkan artikel itu menerusi FB miliknya pada 11 Januari lalu jam 5 petang di Seksyen 7, Shah Alam.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948(Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama.

Sabit kesalahan bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad memohon tertuduh diikat jamin RM10,000 dan pasport antarabangsanya ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Katanya, jaminan itu perlu kerana Chegu Bard sepatutnya dituduh di mahkamah semalam, namun gagal hadir serta tidak dapat dihubungi.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin memohon agar jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 hingga RM5,000.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan pasport antarabangsanya ditahan mahkamah dan kes disebut semula pada 16 Mei depan.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 11:17am
d