mutakhir

Semoga adik ditemui selamat

Oleh Norasikin Daineh

“Saya harap dia selamat walaupun sudah lima hari hilang,” kata Asima Juparin, 30-an, kakak kepada Sally, 25, yang hilang di perairan Pulau Rusukan Besar, Labuan, Isnin lalu.

Sally hilang selepas cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke laut apabila bot dinaikinya bersama seorang rakan terbakar sebelum dia dihanyutkan arus ketika berenang ke Pulau Rusukan Besar.

Asima berkata, dia sempat bertemu adiknya di rumah, pada Ahad lalu, sebelum dia beritahu mahu keluar memancing bersama rakannya.

“Biasanya dia akan bermalam di laut sebelum pulang ke rumah keesokan harinya, namun kali ini sudah beberapa hari dia tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asima berkata, dia sendiri turut turun ke laut menyertai ahli keluarga mencari adiknya yang hilang namun tidak berhasil.

“Saya harap dia selamat kerana dia sudah biasa dengan keadaan laut ketika menetap di Semporna sebelum ini.

“Biasanya kalau orang lemas, tentu jasad timbul selepas beberapa hari, tetapi adik saya sehingga kini tidak ditemui,” katanya sambil menangis.

Asima berkata, adiknya itu sudah empat bulan tinggal bersamanya di Kampung Kiamsam Wawasan, di sini, dan selalu keluar memancing untuk menyara keluarga mereka.

Sementara itu, Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 5.30 petang semalam.

“Ia berikutan tiada petunjuk untuk menemui mangsa namun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan akan membuat pemantauan berkala bagi aset yang beroperasi untuk mencari mangsa,” katanya.

Selasa lalu, Maritim Malaysia Labuan menerima laporan sebuah bot dinaiki dua pemancing termasuk mangsa bersama rakannya Jimran Lilang, 18, terbakar dan seorang daripada mereka diselamatkan nelayan manakala seorang lagi hilang.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 12:50pm
d