mutakhir

825,636 layak mengundi di Pahang

Oleh Abdul Razak Raaff

SERAMAI 825,636 individu yang berdaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya

Pilihan Raya (SPR) layak mengundi di 14 Parlimen dan 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, 9 Mei ini.

Jumlah itu setakat 31 Disember 2017 merekodkan 591,835 individu atau 71.68 peratus adalah Melayu, diikuti 161,081 atau 19.51 peratus Cina; 37,304 atau 4.52 peratus India manakala 35,416 atau 4.26 peratus daripada lain-lain bangsa.

Menurut sumber UMNO Pahang, terdapat peningkatan seramai 10,223 pemilih baharu, berbanding 815,413 pemilih yang direkodkan oleh suruhanjaya itu sehingga 30 September 2017.

Beliau berkata, Parlimen Pekan yang mempunyai empat DUN iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Chini dan Bebar merekodkan jumlah pengundi paling ramai iaitu 89,076 orang dengan 78,385 atau 88 peratus adalah pengundi Melayu manakala 1,788 pengundi Cina (2.01 peratus); 737 India (0.83 peratus) dan 8,166 lain-lain bangsa termasuk Orang Asli (9.17 peratus).

Katanya, Parlimen Indera Mahkota yang dikuasai pembangkang sejak dua penggal bermula 2008 pula mempunyai 77,321 pengundi berdaftar dengan 51,644 Melayu (66.79 peratus); 20,792 Cina (26.89 peratus); 4,438 India (5.74 peratus) dan 447 lain-lain bangsa, manakala Parlimen Temerloh pula mencatatkan 75,261 pemilih menerusi campuran 50,476 (67.07 peratus) Melayu; Cina (16,946 orang atau 22.52 peratus); India (6,148 orang atau 8.17 peratus) dan lain-lain (1,691 atau 2.25 peratus).

“Jumlah pengundi Parlimen Bentong yang dimenangi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ialah 67,514 pengundi dengan pecahan Melayu seramai 31,483 orang atau 46.63 peratus berbanding 28,162 Cina atau 41.71 peratus, manakala 9.22 peratus atau 6,225 India dan 2.44 peratus atau 1,644 orang lain-lain bangsa.

“Parlimen Jerantut pula mempunyai 63,746 pengundi dengan 81.94 peratus atau 52,231 Melayu, begitu juga Parlimen Kuantan yang meliputi kawasan bandar memiliki jumlah pengundi Melayu seramai 66.52 peratus atau 41,796 orang daripada jumlah keseluruhan 62,831 orang dan 29.58 peratus daripadanya atau 18,587 pengundi Cina,” katanya di Kuantan, hari ini.

Menurutnya lagi, Parlimen Rompin yang mempunyai DUN Muadzam Shah, Bukit Ibam dan Tioman mempunyai seramai 62,037 pengundi berdaftar dengan 5,367 orang atau 8.65 peratus adalah lain-lain bangsa termasuk Orang Asli dan 54,579 orang Melayu (87.98 peratus).

Beliau berkata, jumlah pemilih bagi Parlimen Bera ialah 58,748 orang dengan pecahan kaum Melayu 36,525 orang atau 62.17 peratus, berbanding 29.06 peratus Cina (17,070 orang) begitu juga Parlimen Raub yang mempunyai 57,885 pengundi dan daripada jumlah itu 30,234 pengundi Melayu dan 22,067 pengundi Cina.

“Parlimen Paya Besar yang juga kubu kuat Barisan Nasional (BN) mempunyai 55,231 pemilih, Parlimen Kuala Krau yang merangkumi kawasan gugusan FELDA Jengka pula merekodkan 47,363 pengundi dan Parlimen Maran pula 41,135 pengundi.

Jumlah pengundi bagi Parlimen Lipis yang layak mengundi nanti ialah 35,383 orang, manakala Parlimen Cameron Highlands memiliki 32,105 pengundi.

“Kita berharap pengundi yang sudah berdaftar ini dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan merancang perjalanan balik mengundi dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 1:36pm
d