mutakhir

Lacur diri cari tambang pulang

Oleh Mohd Hilmie Hussin

“SAYA perlukan wang untuk pulang ke Indonesia dan tiada pilihan, selain melakukan pekerjaan ini (melacur) untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos balik ke sana (Indonesia)."

Begitu kata wanita warga Indonesia Selvi Pinem, 24, yang dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menjalankan aktiviti pelacuran, hujung bulan lalu.

Tertuduh berasal dari Medan membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Selvi didakwa mencari langganan bagi tujuan persundalan di sebuah bilik hotel di negeri ini pada 12.05 tengah malam, 30 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan segera dihantar pulang ke Indonesia.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan wanita itu di hotel berkenaan bersama seorang lelaki, dipercayai pelanggan dan merampas barangan disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan pelacuran.

Rakaman percakapan dilakukan mendapati tertuduh mengaku dilanggan seorang lelaki dan menerima wang langganan sebanyak RM150.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan bermula hari ini dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas tamat hukuman bagi tujuan pengusiran.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 4:29pm
d