mutakhir

Mayat dalam tong sampah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MAYAT seorang lelaki ditemui dalam tong sampah berhampiran kawasan pemunggahan barang dekat sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada 1 tengah hari.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat enam tempat letak kereta bangunan pusat beli-belah itu.

“Kami menemui satu botol minuman keras dan kesan tapak kasut pada dinding di aras berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemui Toyota Innova milik bapa lelaki berkenaan di aras enam bangunan itu.

Katanya, hasil semakan, lelaki berasal dari Kampung Baru, Senai itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 6:27pm
d