mutakhir

Sesak 18 kilometer, treler terbabas [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Suhaila Shahrul Annuar

TAYAR depan sebelah kanan pecah menjadi punca treler terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) sehingga mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira 18 kilometer ke arah selatan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, dalam kejadian pada 2.45 petang, treler itu dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan menuju ke utara.

“Sebaik tiba di Kilometer (KM) 28.9 lebuh raya itu, tayar depan sebelah kanannya meletup dan pemandunya cuba mengawal kenderaan terbabit, namun tidak berjaya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kemalangan turut membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda, namun mangsa termasuk pemandu treler tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, cuaca ketika kejadian baik dan struktur jalan di kawasan terbabit lurus.

Katanya, aliran trafik di kedua-dua arah perlahan ketika ini, dan semua pemandu yang melalui jalan berkenaan diminta berhati-hati.

“Peronda ELITE, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Ronda, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu kelancaran trafik,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 8:01pm
d