mutakhir

Pemandu tersepit, rentung dalam kenderaan

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas dipercayai dirempuh bas ekspres berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 2.16 petang itu, mangsa S Ganapathi, 54, disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu dalam kenderaan Perodua Kembara.

Bagaimanapun, pemandu bas ekspres berusia 42 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan menghala ke utara sebelum secara tiba-tiba menukar laluan ke sebelah kiri lebuh raya.

Beliau berkata, pemandu bas ekspres yang berada di sebelah kiri tidak sempat menekan brek ketika kenderaan mangsa mengubah laluan.

“Berikutan itu, bas terbabit merempuh belakang kenderaan mangsa sebelum ia terbabas melanggar penghadang besi di sebelah kiri lebuh raya dan terbakar.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan rentung di dalam kenderaan dipandunya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, anggota bomba membantu memotong kenderaan bagi mengeluarkan mayat mangsa yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Khairul Jamil berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati kenderaan itu terbakar 90 peratus.

“Selepas memadam kebakaran, kami menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mayat mangsa sebelum ia diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat pada 4.20 petang,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 8:42pm
d