mutakhir

Jom pakat serbu GegaRia di SP, Ahad ini

Oleh Siti Salmiah A Hamid

FESTIVAL GegaRia 2018 #KitaOK bakal melabuhkan tirainya di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah, Ahad ini selepas menggegarkan enam bandar di seluruh Semenanjung dengan rekod pengunjung mencecah ratusan ribu orang.

Seperti sebelumnya, Festival GegaRia 2018 #KitaOK menampilkan kelainan dalam setiap zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan #Gegaria.

Festival sehari itu akan bermula 8 pagi hingga 11 malam dengan dibahagikan kepada Zon Throwback Tunnel, Zon Makan-Makan, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan.

Pengurus Projek Khas dan Perkhidmatan Pelanggan, Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohd Anis Abdullah berkata, Zon Throwback Tunnel dan Zon Gaya Hidup antara lokasi terbaik pengunjung untuk menimba pengalaman berharga.

“Di zon ini, beberapa gambar dan rakaman video dari Pusat Sumber NSTP dan TV3 dipertontonkan kepada pengunjung yang bukan saja mengimbau sejarah tanah air, malah sebagai inspirasi kepada generasi Y bagi membentuk belia pemangkin negara.

“Zon Gaya Hidup pula membabitkan sesi perkongsian pengurusan kewangan di tapak #YOUCANDUIT oleh barisan artis yang juga usahawan antaranya Dinie dan Khai, Fesyen & Kecantikan oleh Elfira Loy, Kesihatan (Hanif Shawn dan Dr Say), ‘Kata Serasi’ (Diana Danielle dan Naz Rahman), Dari Minat Kepada Karier (Faizdickie dan Vikar) serta Musik & Fesyen yang dihoskan oleh Pa’din Musa dan Noh Salleh.

“Beberapa topik panas berkaitan keibubapaan pasti menarik untuk diikuti seperti ‘Feel It: Marriage Drama?’ oleh Chazynash dan tip Keibubapaan oleh Scha Alyahya dan Awal Ashaari serta peraduan mewarna untuk kanak-kanak pada 5 petang dengan penampilan istimewa Ejen Ali,” katanya.

Zon Makan-Makan pula bakal disertai pelbagai trak makanan yang menawarkan makanan tradisional, makanan segera dan demonstrasi masakan buat pengunjung yang menggemari beraneka juadah.

Festival GegaRia 2018 #KitaOK turut mewujudkan Zon Komuniti sebagai inisiatif untuk berkhidmat kepada masyarakat menerusi semakan daftar pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemeriksaan gigi, ujian kecergasan serta ujian saringan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Negeri.

Ribuan pengunjung pasti menantikan tarikan utama di Zon Hiburan yang bermula dengan aktiviti tarian Zumba dan diteruskan dengan aktiviti fizikal serta permainan tradisional seperti timbang takraw, ting-ting, congkak dan buih gergasi.

Program Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) pula menawarkan peraduan makan dan pemberian hadiah serta demonstrasi memasak bersama Cef Iwan di kawasan Chillex.

Permainan elektronik menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 dengan menyertai pertandingan elektronik untuk permainan Fifa Online 3.

Turut tersedia, Playstation 4, Nintendo, XBOX dan permainan Virtual Reality yang memberi pengalaman bermain di alam maya secara peribadi.

Konsert Petang dan Malam Gegaria di Pentas Utama Gegaria menampilkan selebriti terkemuka tanah air termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface, Hujan, Bell Yu Tian, Orkes A Hizadin dan Plague of Happiness.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari Facebook rasmi GegaRia di ‘GoGegaria’ (www.facebook.com/gogegaria) atau laman sosial di Instagram @gogegaria (www.instagram.com/gogegaria).

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 9:07pm
d