mutakhir

SMAKL-SMKAKL sambut ulang tahun ke-30

Oleh HM Digital

ALUMNI Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) akan menganjurkan Sambutan SMAKL-SMKAKL 30 tahun di SMKAKL Bandar Manjalara, Kepong pada 29 April ini.

Pelbagai aktiviti dirancang sempena hari bersejarah sekolah berkenaan yang diasaskan pada 1 Januari 1988 dengan ketika itu menumpang di Sek Men Seksyen 2 Bandar Baru Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah program Jef Hazimin Jaafar, tujuan utama sambutan itu diadakan bagi meraikan usia 30 tahun penubuhan satu-satunya SMKA di tengah-tengah ibu kota itu.

“Ia juga untuk mengenang kejayaan dan kecemerlangan sekolah kami ini selain menghimpunkan semua alumni SMKAKL seramai lebih 3,337 orang.

“Kemuncak program itu ialah Jamuan Makan Malam Gala 3 Dekad (1988-2018) yang akan turut dihadiri bekas guru-guru yang mengajar kami 30 tahun lalu.

“Selain itu, kelainan yang kami cuba tampilkan ialah menggabungkan generasi pertama sehingga generasi ke-26 dalam memastikan program ini berlangsung dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jef berkata, banyak aktiviti yang dirancang sepanjang hari berkenaan termasuk Hari Usahawan SMKAKL, Pameran 3 Dekad, Karnival Alumni, Talkshow Kerjaya dan Pertandingan Sukan Alumni vs Pelajar.

“Tiket jamuan makan malam dijual dengan harga RM100 untuk alumni yang bekerja dan RM50 untuk yang masih belajar dengan banyak hadiah cabutan bertuah yang menarik disediakan untuk semua alumni yang hadir,” katanya lagi.

Katanya, untuk acara Talkshow Kerjaya, persatuan akan menampilkan juruterbang AirAsia, Kapten Shaha Aminudin iaitu bekas pelajar SMAKL generasi ketiga.

Katanya, Shaha adalah ‘Kapten Pantun’ yang tular di laman sosial sebelum ini.

Katanya lagi, selain itu, Mesyuarat Agong Alumni juga akan diadakan pada hari yang sama.

Menyingkap sejarah sekolah terbabit, Jef berkata, nama asal sekolah itu ialah Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) sebelum ditukar kepada SMKAKL.

“Harapan saya ialah kita dapat menghimpunkan seramai mungkin bekas pelajar SMKAKL dalam usaha merapatkan jaringan senior dan junior bagi menghasilkan pertemuan strategik dengan gabungan pelbagai pihak,” katanya.

Kepada alumni yang berminat boleh boleh menghubungi nombor telefon di talian 019-3716121 atau e-mel 30smkaklsmakl@gmail.com.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 1:14am
d