mutakhir

Rezeki penyertaan kali ketiga

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Pembacaan al-Quran ini memberi saya ketenangan dan kemenangan saya ketika Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2018 adalah rezeki daripada Allah.

“Saya hanya lakukan yang terbaik ketika penyertaan kali ketiga saya di MTHQK, alhamdulillah rezeki memihak kepada saya hasil istiqamah latihan pembacaan sebelum ini.”

Itu luahan qariah dari Melaka, Suhailah Zulkifly yang juga pensyarah di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) selepas dia diumumkan sebagai johan qariah sempena MTHQK minggu lalu.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah mendapat tempat dalam tiga edisi MTHQK sebelum ini namun rezeki memihak kepadanya apabila dinobatkan sebagai johan qariah dan bakal mewakili negara ketika Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang berlangsung Mei depan.

“Sebelum ini, saya pernah memasuki pertandingan MTHQK namun tidak berjaya dan kali ini terus menjadi johan. Saya anggap ini rezeki daripada Allah mungkin atas usaha saya selama ini.

“Dalam aspek latihan pembacaan, saya meluangkan masa setiap hari untuk melakukan latihan pembacaan al-Quran. Jika hari bekerja, saya peruntukkan dua jam iaitu di waktu malam.

“Kalau hujung minggu pula, saya peruntukkan masa enam jam iaitu dua jam selepas subuh, dua jam antara waktu Zuhur dan Asar dan dua jam selepas Isyak,” katanya.

Suhailah berkata, minatnya dalam bidang tilawah al-Quran itu mula berputik sejak di bangku sekolah apabila dia kerap mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan tilawah sama ada di peringkat sekolah, negeri mahupun kebangsaan.

“Kalau secara pembelajaran rasmi dalam bidang teknik bacaan al-Quran, saya tidak pernah mendapatkan pengajian yang khusus cuma saya ada berguru dengan beberapa orang.

“Kebanyakannya guru dalam kaedah sebutan dan makhraj yang betul kerana ramai di antara kita yang tahu membaca al-Quran, namun mungkin sebutan kurang tepat atau kurang jelas,” katanya.

Menjelang Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, menurutnya, persiapan dilaksanakan dengan teliti dan akan memperbaiki bacaan dengan beberapa tokoh qari serta qariah tempatan untuk memperkemaskan lagi persembahan.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 5:46am
d