mutakhir

Artis bebas bertanding PRU14

Oleh Nadia Hamid

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat tambahan kepada sesiapa sahaja calon, seperti artis yang mahu bertanding pada pilihan raya.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata mereka yang memenuhi syarat antaranya warga negara, tidak diisytihar bankrap dan boleh menyediakan deposit sebagai calon sebanyak RM10,000 dan deposit kempen (RM5,000) layak untuk bertanding.

“(Sebagai) negara yang mengamalkan demokrasi, kita tidak menghalang mana-mana pihak atau calon untuk bertanding pilihan raya, asalkan memenuhi syarat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ketika ditanya kesedaran artis untuk bertanding sebagai calon PRU, Abdul Ghani tidak menafikan semakin ramai artis yang berminat terbabit dalam politik tanah air.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), tiga artis dicalonkan iaitu Herman Tino bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Tanjung Karang, Dayangku Intan (PKR – Parlimen Penggerang, Johor) dan Aishah (PAS – Parlimen Jempol, Negeri Sembilan).

SPR menetapkan syarat calon yang bertanding perlu menyediakan deposit calon Parlimen sebanyak RM10,000; deposit bahan kempen Parlimen (RM5,000); deposit calon DUN (RM5,000) dan deposit bahan kempen DUN (RM3,000).

Deposit pilihan raya boleh dituntut selepas keputusan PRU diisytiharkan Pegawai Pengurus, sekiranya calon mendapat lebih 1/8 jumlah undi daripada calon bertanding.

Deposit bahan kempen boleh dituntut selepas semua bahan kempen dibersihkan calon bertanding dan disahkan pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 5:16pm
d