mutakhir

Cemas bila cincin tersangkut

Oleh Nur Saliawati Salberi

WANITA terpaksa mendapatkan khidmat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, semalam selepas cincin perak yang dipakai pada jari manisnya gagal ditanggalkan.

Difahamkan, wanita, 30-an, terbabit datang ke balai bomba pada 4.11 petang bagi menanggalkan cincin di jari manis tangan kirinya.

Sebelum mendapatkan bantuan pihak bomba, wanita terbabit dikatakan terlebih dahulu pergi ke kedai cincin bagi membantunya, namun usahanya tidak berjaya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menjalankan khidmat khas memotong cincin berkenaan.

Katanya, keadaan jari wanita berkenaan membengkak selepas cubaannya menanggalkan cincin tidak berjaya.

“Seramai tiga anggota Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) terbabit dalam operasi memotong cincin menggunakan peralatan khas 'cutter ring'.

“Anggota bomba mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan cincin yang agak keras seakan besi, selain kerja pemotongan perlu dijalankan secara berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 8:00pm
d