mutakhir

Sasar 300 banduan jalani latihan kemahiran [METROTV]

Oleh Junita Mat Rasid

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 300 penghuni penjara mengikuti latihan kemahiran peringkat pertengahan pada setiap tahun.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sasaran itu susulan pelbagai transformasi yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan program pemulihan di dalam dan luar penjara dapat dijalankan secara berkesan.

Katanya, inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) juga menampakkan kejayaan apabila 16,157 penghuni penjara berjaya mengikuti program latihan dan persijilan yang diiktiraf dari 2012 hingga 2017.

“Di atas kejayaan itu, pada tahun ini KDN meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 300 daripada 1,500 penghuni mengikuti latihan kemahiran bersijil peringkat pertengahan.

“Pelaksanaan latihan di peringkat pertengahan berdasarkan empat bidang keutamaan iaitu perkhidmatan dan pelancongan, pertanian dan perladangan, pembangunan dan pembinaan serta bidang Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Mesej Dari Penjara dan Infokraf peringkat Zon Selatan 2018 di Johor Bahru, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad.

Pada majlis itu, penyanyi Ella diumumkan sebagai ikon Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, sebanyak 60 hingga 63 peratus penghuni penjara adalah mereka yang terbabit dalam isu penyalahgunaan dadah menyebabkan kaedah pemulihan penagih dadah perlu dijalankan bagi mengelak mereka hanya menjalani hukuman penjara.

Katanya, pihaknya mahu kaedah terbaik untuk menguruskan banduan sekali gus program lebih menjurus kepada proses pemulihan, bukannya sekadar menghukum.

“Sistem parol yang dilaksanakan turut terbukti mampu menyumbang kepada pengurangan indeks kadar jenayah. Sejak dilaksanakan pada pertengahan 2008, hampir 38,000 orang diparol, orang disedia dan pesalah menjalani program berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 8:38pm
d