mutakhir

GegaRia 2018 labuh tirai di Sungai Petani, esok

Oleh Suzalina Halid dan Embun Majid

MEDIA Prima Berhad (MPB) akan menjadikan penganjuran Festival GegaRia 2018 #KitaOK sebagai program tetap dengan sasaran menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Festival itu yang sudah menggegarkan tujuh bandar di seluruh Semenanjung termasuk acara kemuncaknya di Amanjaya Mall di Sungai Petani, esok, dijangka diteruskan dalam masa terdekat ini dengan misi mendekati pengguna media sosial di negara ini.

Ketua Strategi, Komersial dan Komunikasi New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengurus Projek, Zahid Johan Lani berkata, melalui Festival GegaRia, pihaknya mahu mendidik pengguna media sosial supaya bertanggungjawab dan berhemah dalam menyebarkan sebarang maklumat.

“Kita berusaha meneruskan program sebegini dalam masa terdekat untuk pergi ke kawasan bandar dan pinggir bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita ingin menyediakan program lebih daripada acara karnival yang kebiasaannya, pada masa sama memberi pendedahan kepada pengguna digital dan media sosial untuk menggunakan platform itu secara sihat, ” katanya ketika ditemui di tapak Festival GegaRia, di Aman Jaya Mall, hari ini.

Festival GegaRia2018 #KitaOK menampilkan pelbagai kelainan dalam setiap zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan #GegaRia bermula dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Selain itu, acara menarik yang diadakan termasuk menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 menerusi pertandingan elektronik untuk permainan Fifa Online 3.

Turut tersedia, Playstation 4, Nintendo, XBOX dan permainan Virtual Reality yang memberi pengalaman bermain di alam maya secara peribadi.

Konsert Petang dan Malam GegaRia di Pentas Utama GegaRia pula menampilkan selebriti terkemuka termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface, HUJAN, Bell Yu Tian, Orkes A Hizadin dan Plague of Happiness.

Pada masa sama, Zahid berkata, pendekatan yang digunakan untuk mendekati pengguna media sosial khususnya orang muda ini juga adalah secara santai, sihat dan ceria yang dipimpin pemimpin utama dalam talian (key online leaders).

Katanya, selain mendekati golongan sasar melalui penganjuran GegaRia, festival ini juga menyampaikan maklumat komunikasi antara komuniti media sosial secara terus melalui platform maya.

“Melalui penganjuran kali ini, kita membuat beberapa penambahbaikan dan orang ramai bersama rakan serta keluarga tidak harus melepaskan peluang hadir untuk mengikuti pelbagai acara menarik secara percuma,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman Facebook (FB) rasmi Gegaria di ‘GoGegaRia’ (www.facebook.com/gogegaria) atau laman sosial di Instagram @gogegaria (www.instagram.com/gogegaria).

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 9:27pm
d