mutakhir

Palestin hargai sokongan berterusan Malaysia

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

IMAM Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa'ed Sabri memuji kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas sokongan berterusan dan membantu rakyat Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

Menerusi ucapannya, Sheikh Ekrima turut menyatakan penghargaannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan jentera kerajaan terhadap usaha pembebasan berkenaan.

Beliau juga memuji penganjuran sambutan Israk Mikraj yang julung kalinya pada hari ini kerana disifatkan sebagai usaha memperingati Masjid Al-Aqsa selain Palestin.

“Sejak dahulu lagi, rakyat negara ini sentiasa bersama, menyokong dan membantu rakyat Palestin, malah Malaysia antara negara umat Islam yang prihatin terhadap isu Palestin.

"Justeru, kami menyeru umat Islam seluruh dunia untuk bersama kami dalam isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa kerana ancaman Zionis ini bukan semata-mata kepada kami, bahkan mereka musuh kepada Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 1439/2018 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir, Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA Noorazman Mohd Samsuddin.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, Sheikh Ekrima turut menyampaikan Surat Penghargaan Masjid Al-Aqsa kepada Perdana Menteri sebagai tanda penghargaan dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Selain itu, Najib menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Al-Aqsa kepada Sheikh Ekrima.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 11:15pm
d