mutakhir

Platform promosi produk

Oleh T N Alagesh dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Bera: Karnival Usahawan Desa (KUD) dilihat sebagai platform usahawan mempromosi produk mereka di samping mewujudkan jaringan dengan syarikat besar bagi meluaskan pasaran ke peringkat global.

Ini berikutan kebanyakan usahawan berdepan masalah memasarkan produk sehingga kurang mendapat sambutan orang ramai.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, KUD disediakan bagi membantu usahawan desa supaya lebih berdaya saing selain meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai jenis pembiayaan serta memudahkan prosesnya.

“Segala bantuan diberikan itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu usahawan desa terutama Bumiputera untuk terus berjaya dalam perniagaan yang mereka ceburi.

“Usahawan desa perlu merebut peluang terhidang ini dan bijak untuk meningkatkan pengeluaran produk mereka seterusnya mampu menjana pendapatan lumayan.

“Kami juga menggalak usahawan desa mendaftar di Desamall Online yang boleh membantu mereka memasarkan produk secara dalam talian.

“Setakat ini, 500 usahawan desa sudah mendaftar dan kita jangka lebih ramai akan berbuat demikian hujung tahun ini,” katanya selepas merasmikan KUD@Bera di Laman Kerayong, di sini, semalam.

Terdahulu pada majlis itu, Ismail Sabri menyerahkan kunci motosikal kepada 73 peserta Mobilepreneur Pahang terdiri pengusaha perkhidmatan jahitan, juruelektrik, jurukimpal dan pereka grafik. KUD@Bera yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan 69 usahawan desa yang mempamer dan mempromosikan produk mereka dengan sasaran pengunjung seramai 100,000 dengan nilai jualan RM200,000.

Karnival itu juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan larian, sukan rakyat, ceramah perdana, cabutan bertuah dan persembahan artis terkenal.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 9:38am
d