mutakhir

'Tumpang kasih' haiwan ternakan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

HAIWAN ternakan menjadi pengubat kasih kepada pasangan warga emas yang tidak mempunyai anak selepas berkahwin selama 51 tahun.

Bagi Mohamad Yusof Che Soh, 67, dan isterinya Zainab Awang, 70, walaupun tidak mempunyai anak, hidup mereka tetap gembira.

Malah, Mohamad Yusof berkata, haiwan ternakan seperti ayam, itik dan kambing itu menjadi sumber pendapatan mereka sejak lima tahun lalu selepas dia tidak lagi bekerja.

“Bagi menghilangkan kesunyian, memelihara haiwan ternakan ini menjadi pengisi masa lapang selepas saya tidak lagi bekerja sebagai buruh.

“Saya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM300 seminggu, tetapi terpaksa berhenti kerja sejak lima tahun lalu atas faktor usia selain lambakan buruh asing,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Belimbing, Limbat, Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata, pada mulanya dia dan isteri teragak-agak untuk menjual haiwan ternakan, tetapi terpaksa diteruskan demi kelangsungan hidup mereka.

Katanya, haiwan ternakan yang dipelihara turut menjadi penghibur di kala mereka berasa kesunyian.

“Sehingga kini saya memelihara 20 ekor ayam, enam ekor kambing dan dua ekor itik dan ia hanya dijual sekiranya ada permintaan.

“Saya menjual ayam dengan harga RM15 seekor, kadang-kadang dalam sebulan ada ayam yang tidak dijual kerana tidak ada permintaan.

“Setiap hari, isteri beri binatang ternakan terbabit makan, walaupun mata sebelah kirinya tidak boleh melihat, tetapi dia tidak boleh duduk diam,” katanya.

Katanya, wang yang diperoleh hasil jualan ayam saja memang tidak cukup, namun belas ihsan adik-beradik dan anak saudara yang menghulurkan sedikit wang belanja digunakan untuk mereka mengisi perut.

“Dalam masa sama, saya bersyukur kerana jika dulu saya dan isteri tinggal di rumah usang yang berlubang di merata-rata tempat, tetapi atas keprihatinan pihak tertentu, kami kini mempunyai rumah lebih selesa selepas ia dibina dua tahun lalu oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani, berkata dia akan membantu keluarga itu dengan memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIK.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 1:32pm
d