mutakhir

Najib temui Ahli Parlimen BN [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

DATUK Seri Najib Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediamannya di Seri Perdana, Putrajaya.

Pertemuan bersama Perdana Menteri itu diadakan pada 9 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pertemuan itu banyak menyentuh mengenai kekeluargaan dalam parti, setiakawan dan wala’.

“Kami sebagai keluarga BN perlu memegang prinsip wala’ dan pertemuan tadi bersama Ahli Parlimen BN diadakan secara beramai-ramai,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan berkata, amanat yang diberikan ialah untuk menjaga parti BN.

“Ucapan yang diberikan sangat ringkas, menyakinkan dan menanam semangat BN tidak kira dilantik menjadi calon atau tidak, kita mesti bersama BN.

“Selain itu juga, beliau (Najib) turut meminta kami mempertahankan parti dan BN demi kebaikan negara.

“Semua yang hadir gembira sebab ia menanam sifat kekitaan dalam diri ahli BN, caranya itu (mengadakan pertemuan) sangat bagus,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerusi di Cameron Highland, Saravanan berkata, pertemuan berkenaan tidak membincangkan mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 11:52am
d