mutakhir

'Tak sempat lepas gian'

Oleh Rosliza Mohamed

ENAM lelaki ditahan bersama 600 pil kuda di Jalan Pasir Hor dekat Kampung Tini, di Kota Bharu.

Semua mereka berusia antara 22 hingga 38 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerusi Ops Tapis pada jam 5.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, lima lelaki ditahan di bangsal, manakala seorang lagi ditahan dalam bilik di rumah yang terletak sebelah bangsal terbabit.

“Suspek yang bersembunyi dalam bilik rumah itu berusia 38 tahun. Pemeriksaan lanjut pada beg miliknya mendapati ia berisi 600 biji pil dipercayai pil kuda yang dianggarkan RM9,000,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lima daripada mereka adalah pembeli, manakala seorang lagi disyaki pengedar dadah,

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 7:35pm
d