mutakhir

Anak Awang Adek meninggal dunia

Oleh HM Digital

Petaling Jaya: Anak Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Awang Adek Hussin meninggal dunia, malam kelmarin.

Ahmad Azran, 33, anak ketiga daripada lima beradik itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Tropicana di sini, jam 11.43 malam.

Awang Adek berkata, anaknya meninggal dunia dipercayai selepas diserang sawan.

Katanya, Allahyarham anak istimewa dan ada masalah kesihatan sejak kecil.

“Doktor memaklumkan, arwah ada kecederaan di otak dan sering diserang sawan serta demam sejak berusia setahun. Ia berlarutan sehingga dewasa, kadang-kadang sebulan sekali diserang sawan.

“Malam tadi (kelmarin), saya dan isteri tiada di rumah kerana menghadiri program di Bachok manakala isteri di Pulau Pinang.

“Pemergian Allahyarham disedari adik perempuan saya yang menjaganya sejak kecil apabila melihat Allahyarham tersungkur di biliknya dengan muka di atas bantal,” katanya, semalam.

Awang Adek berkata, seisi keluarga reda dengan pemergian Allahyarham walaupun terkejut memandangkan arwah sihat.

“Pernah terdetik di hati saya, siapa menjaganya jika kami sudah tiada. Namun, arwah pergi terlebih dulu daripada kami,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, selepas waktu Zuhur.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 2:52am
d