mutakhir

Kerapu kertang tewas lepas bertarung 20 minit

Miri : Dua kaki pancing menerima durian runtuh selepas mendaratkan seekor ikan kerapu kertang seberat 145 kilogram di Perairan Miri, kira-kira 50 kilometer dari Kuala Baram di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, ikan gergasi bernilai RM5,000 itu ditangkap menggunakan umpan isi ikan parang pada jam 1 pagi, selepas lebih 20 minit memerah keringat bertarung dengan penghuni laut dalam itu.

Ahmad Uzair Sidek, 20, berkata, dia bersama seorang saudaranya, Nordin Maidin Sandih, 48, terkejut apabila mendapati keadaan tali pancingnya direntap agak luar biasa sebelum menyedari ia ikan kerapu kertang.

“Memang sukar, selepas lebih 20 minit, baru dapat dinaikkan ke perahu sebelum dibawa pulang ke Pasar Nelayan Batu Satu, Kuala Baram,” katanya.

Menurutnya, ia adalah rezeki yang tidak disangka kerana berjaya memperoleh RM5,000 dalam sekelip mata hasil jualan ikan itu kepada peraih.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, dia akan menggunakan wang itu untuk membeli peralatan memancing selain untuk simpanannya.

Ikan kerapu kertang antara ikan yang sering diburu kerana mendapat permintaan tinggi terutama dari pengusaha restoran makanan laut yang menawarkan harga sekitar RM35 sehingga RM50 bagi sekilogram.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 3:43am
d