mutakhir

'Gila' solek kereta

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Berusia 63 tahun dan mempunyai 10 cucu namun minat menghias dan modifikasi kenderaan seperti yang sering dilakukan orang muda tidak pernah luntur dalam dirinya.

Muhamad Arshad atau dikenali dengan panggilan ‘Ayah’ dalam kalangan kaki modifikasi kereta antara warga emas yang aktif dalam dunia pertunjukan kenderaan atau autoshow.

Aktif secara serius dalam dunia autoshow sejak 10 tahun lalu, dia yang tinggal di Parit Haji Ali di sini, menjadikan Proton Saga 1.5 sebagai jentera untuk diperagakan.

Keretanya unik yang sarat dengan pelbagai aksesori dan sistem audio.

Muhamad yang juga bapa kepada pelawak, Shuib Sepahtu berkata, dia mengumpul lebih 100 piala kemenangan sepanjang pembabitannya dalam dunia autoshow.

Lebih manis, 35 piala dimilikinya mendapat tempat pertama dalam pelbagai kategori disertai seperti Best Proton Standard, Best Proton Extreme dan Best of The Best.

Muhamad berkata, isteri serta enam anaknya tidak menghalang minatnya, malah sentiasa memberi sokongan padu.

“Pembabitan dalam dunia permotoran dalam usia lebih separuh abad ini ada yang memuji dan ada yang mencemuh.

“Tapi saya langsung tidak kisah kerana usia bukanlah penghalang bagi setiap aktiviti atau hobi diminati,” katanya.

Muhamad berkata, dia membelanjakan lebih RM20,000 untuk modifikasi kenderaannya.

Katanya, kenderaannya pernah mahu dibeli seorang peminat dengan harga tinggi namun ditolak kerana merancang menjadikannya sebagai warisan keturunannya.

“Ada seorang peminat ingin membeli kereta itu untuk diletakkan di kedai aksesori miliknya sebagai tarikan, namun saya menolak kerana anak dan cucu dibesarkan dengan kereta ini.

“Biarlah kereta ini menjadi warisan keluarga kerana banyak kenangan manis bersamanya,” katanya.

Menurutnya, dia turut menerima undangan bagi memperagakan keretanya termasuk di majlis perkahwinan untuk menarik perhatian orang ramai.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 3:51am
d