mutakhir

Tinjau lokasi sebelum Kevin Morais diculik [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah yang mengendalikan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais, meninjau kediaman mangsa di Kondominium Menara Duta, Jalan Dutamas Raya, Kuala Lumpur, tempat terakhir sebelum beliau diculik, pada 4 September 2015.

Beliau bersama pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, peguam bela V Rajehgopal, kakitangan mahkamah serta lima tertuduh kes bunuh itu tiba di kondominium di Jalan Dutamas Raya, di sini, 9.45 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, doktor tentera, Kolonel R Kunaseegaran, 55, yang juga tertuduh pertama kes itu tidak mengikuti tinjauan itu.

Mereka meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kondominium itu, yang mana dalam keterangan sebelum ini menunjukkan Kevin dilihat keluar menuju ke pejabatnya di Putrajaya kira-kira 7.30 pagi, 4 September 2015.

Tinjauan diteruskan lagi ke lokasi kedua di persimpangan lampu isyarat Jalan Dutamas Raya iaitu tempat kenderaan yang dipandu oleh Kevin Morais dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton, yang dipandu seorang daripada tertuduh, S Nimalan dan dinaiki R Dinishwaran, A K Thinesh Kumar serta M Vishwanath.

Lokasi terakhir yang terletak 100 meter dari lampu isyarat berkenaan pula adalah tempat kenderaan Kevin Morais memberhentikan keretanya selepas dilanggar, sebelum tinjauan itu tamat, 45 minit kemudian.

Tiga penganggur, Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25, Vishwanath, 28, Nimalan, 25, dan pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 47, didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Kesemua tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais ditemui di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 11:22am
d