mutakhir

'Datuk diperdaya Datuk RM100,000'

Oleh Shahrinnahar Latib

HASRAT ahli perniagaan bergelar Datuk mahu memiliki lombong bijih besi di Chini, Pekan musnah apabila mengalami kerugian RM100,000 selepas mendakwa diperdaya dalam urusan jual beli tanah perlombongan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 54, ditawarkan lombong yang dijual pada harga RM1 juta oleh lelaki, 35, dikenali sebagai Jaya pada Disember lalu.

“Jaya mendakwa lombong itu hendak dijual kerana kontraktor yang beroperasi sekarang tidak membayar kepada syarikat yang memiliki tanah terbabit.

“Mangsa berminat untuk mengambil alih lombong bijih besi itu, dan pada 29 Disember lalu mangsa menyerahkan wang deposit RM50,000 melalui cek dan RM50,000 lagi secara tunai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Wazir berkata, wang berkenaan diberikan melalui Jaya untuk diserahkan kepada pemilik tanah lombong berkenaan yang juga bergelar Datuk.

“Mangsa dan pemilik tanah lombong itu membuat membuat perjanjian sekiranya tidak dapat menamatkan kontrak kontraktor itu dalam masa sebulan, dia akan memulangkan semula wang RM100,000.

"Bagaimanapun selepas dua bulan, mangsa mendapat makluman daripada Jaya memaklumkan pemilik tanah itu mahu membuat bayaran semula RM100,000 kerana tidak dapat menunaikan perjanjian jual tanah itu,” katanya.

Katanya, suspek juga berjanji sekiranya mangsa tidak memperolehi wangnya semula, dia boleh mengambil lori milik syarikatnya.

“Tetapi sehingga kini, mangsa tidak memperolehi wangnya. Mangsa cuba menghubungi suspek, tetapi gagal sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Menurutnya, pihak polis sudah merakam percakapan mangsa dan Jaya untuk membantu siasatan kes ini, selain membuat semakan kesahihan perjanjian yang dibuat antara mangsa dan suspek.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek bergelar Datuk itu untuk siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 11:41am
d