mutakhir

26 penerbangan tambahan sempena PRU14

Oleh Garret Dawum

SEMPENA Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), syarikat penerbangan Malindo Air menambah 26 penerbangan domestik selepas mendapat permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia yang ingin pulang mengundi pada 9 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, Malindo Air memaklumkan bahawa, penerbangan tambahan itu hanya dibuat pada 8 hingga 10 Mei dan sah menerusi pembelian dalam talian, kaunter tiket Malindo Air dan ejen pelancongan di Malaysia.

“Bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching, sebanyak 16 penerbangan tambahan dibuat membabitkan 2,592 tempat duduk.

“Selain itu, 10 penerbangan membabitkan 1,620 tempat duduk tambahan dibuat untuk laluan di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang dan Kota Bharu,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Malindo Air sebelum ini juga mengumumkan pengecualian bayaran penalti untuk pembelian semula tiket dan penukaran tarikh bagi tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 10 April menerusi pusat panggilan dan pejabat tiket sempena PRU14.

“Tambang Malindo Air adalah termasuk yuran bagasi 15 kilogram (kg) bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Manakala, tambang untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk yuran bagasi sebanyak 25kg dan 40kg masing-masing untuk kelas ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan aktiviti dan promosi terkini Malindo Air, layari laman Twitter (https://twitter.com/malindoair), Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia) dan Instagram (instagram.com/malindoair).

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 1:34pm
d