mutakhir

Tak boleh lari punya...

Oleh Mohd Latif Ahmad

KECEKAPAN sepasukan anggota tentera berjaya mematahkan cubaan menyeludup kenderaan curi ke Kalimantan Barat, Indonesia melalui ‘laluan tikus' dalam operasi khas Ops Serkap, di sebuah ladang kelapa sawit di Lundu, kelmarin.

Dalam kejadian pada 11 pagi, enam anggota Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sedang menjalankan rondaan memantau laluan haram di kawasan sempadan berhampiran ladang itu sebelum mengesan kehadiran sekumpulan individu.

Jurucakap 11 RAMD berkata, anggota tentera mengarahkan kumpulan terbabit berhenti untuk pemeriksaan lanjut, namun mereka melarikan diri menggunakan empat motosikal dan sebuah Mitsubishi Pajero.

“Anggota tentera cuba mengejar kumpulan itu, namun mereka berpecah sebelum berjaya meloloskan diri dalam ladang kelapa sawit itu dengan menaiki motosikal menggunakan laluan berbeza.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan pacuan empat roda ditinggalkan kumpulan terbabit, dan dipercayai kenderaan curi yang cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.

Katanya, kumpulan terbabit dipercayai rangkaian sindiket curi kenderaan yang bergerak aktif di Sarawak sebelum diseludup ke Kalimantan Barat menggunakan ‘laluan tikus' di sempadan sebelum dijual pada harga murah di pasaran gelap.

“Mitsubishi Pajero bernilai kira-kira RM35,000 mengikut pasaran semasa itu kemudian dibawa ke Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 2:27pm
d