mutakhir

Kata nak heret Dr M ke mahkamah

Oleh Amin Ridzuan Ishak

PEMIMPIN pakatan pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu ditempelak kerana tidak lagi menyuarakan janji untuk menghadapkan Tun Dr Mahathir Mohammad ke muka pengadilan seperti yang dilaungkan mereka selama ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, pelbagai dakwaan dan kritikan dilemparkan terhadap bekas Perdana Menteri itu oleh Penasihat DAP dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) berikutan pelbagai skandal ketika beliau menerajui kerajaan selama 22 tahun antaranya skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan Perwaja Steel.

“Ia tidak akan didiamkan malah rekod kita pemimpin pakatan pada hari ini pun dalam ucapan mereka satu tahun kebelakangan atau sebelum menerima kemasukan Tun Dr Mahathir dan mengisytiharkannya sebagai calon Perdana Menteri, mereka membidasnya habis-habisan sehingga Lim dan Mat Sabu sendiri berjanji akan menangkap Dr Mahathir dan membawanya ke mahkamah.

“Jadi ke mana semua dakwaan-dakwaan berkenaan, ertinya tidak semudah itu Tun M boleh tarik sokongan Melayu dan Islam kepada mereka, ia menjadi liabiliti yang menyulitkan mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pelindung Perdana, Beserah hari ini.

Sementara itu, Nasrudin yang juga calon PAS bagi Parlimen Indera Mahkota pada PRU-14 menegaskan dakwaan ‘tsunami Melayu’ dan Islam yang merujuk kepada peningkatan sokongan masyarakat itu kepada pakatan pembangkang pada PRU-14 tidak akan berlaku.

Katanya, dakwaan itu dibuat pakatan pembangkang semata-mata untuk meningkatkan keyakinan dan mempengaruhi masyarakat sedangkan realiti sebenarnya semua pihak bertanding mempunyai peluang terbuka berikutan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), PAS serta pakatan pembangkang.

“Kalau ‘tsunami Melayu’ dan Islam berlaku sudah tentu berlaku anjakan peratusan sokongan kepada PAS kerana kita lebih besar dan berpengalaman dalam perjuangan, selain itu dalam beberapa isu pakatan itu dilihat tidak begitu tegas dalam mempertahankan prinsip.

“Contohnya isu Akta 355 (usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) ) dan Akta 164 berkaitan isu pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil, mereka tidak berpihak kepada Islam.

“Begitu juga dalam isu gejala songsang seperti pemikiran bebas serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), masyarakat Melayu dan Islam sangat sensitif mengenainya tetapi pakatan pula agak seimbang kerana ada komponen di dalamnya tegas mempertahankan LGBT,” katanya.

Mengulas penggunaan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh parti dalam pakatan pembangkang, Nasrudin berkata, peluang itu sememangnya dinantikan DAP dalam meraih sokongan orang Melayu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara.

“PPBM hendak guna logonya tidak boleh sebab ada isu pendaftaran dan teknikal dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), namun ia menjadi kesangsian kepada orang awam bagaimana parti dipimpin bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh mempunyai masalah seperti itu.

“Adakah mereka sengaja membiarkannya tidak diluluskan maka ia menjadi titik permulaan baginya menggunakan logo PKR kerana parti itu masih baharu dan ramai rakyat belum mengenalinya, DAP pula mahu guna logo itu untuk mendapat sokongan Melayu,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 4:07pm
d