mutakhir

Tolong pulangkan wang kami...

Oleh Fazrik Kamarudin

SERAMAI 200 individu termasuk rombongan pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Pulau Pinang kerugian hampir RM400,000 apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelancongan.

Syarikat berkenaan yang dipercayai didalangi lelaki menggunakan media sosial Facebook untuk menawarkan pakej percutian pada harga murah ke negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Vietnam.

Namun, selepas menerima deposit dan bayaran penuh daripada pelanggan, syarikat itu didakwa menangguh atau membatalkan pakej berkenaan dengan menggunakan pelbagai alasan.

Antara alasan termasuk masalah pertukaran mata wang, peningkatan kos operasi dan harga tiket mahal.

Mangsa penipuan pula mendakwa tertarik dengan harga murah yang ditawarkan selain akaun Facebook syarikat itu mempunyai lebih 100 komen dan ulasan yang positif.

Guru Nur Ain Abdul Rahim, 29, dari Pulau Pinang, berkata dia yang mewakili tujuh pelajar OKU di bawah kendaliannya tertarik dengan pakej percutian ke Jeju, Korea Selatan yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Katanya, mereka perlu membayar RM999 setiap orang termasuk tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan dan tiket masuk tempat pelancongan menarik di Jeju.

“Kami membuat tempahan pakej berkenaan setahun sebelum tarikh percutian pada 28 April sehingga 1 Mei tahun lalu dengan bayaran RM49,000 untuk tujuh pelajar yang menghidap Autism dan 'Attention Deficit Hyperactive Disorder' (ADHD), 21 ahli keluarga pelajar dan 15 guru.

“Namun, pihak syarikat kemudian memaklumkan pakej berkenaan dibatalkan kurang 20 hari sebelum kami dijadualkan berangkat ke Korea Selatan, tanpa sebarang alasan.

“Apabila kami meminta semula wang yang sudah dibayar, pelbagai alasan diberikan dengan syarikat cuba berdalih meminta tempoh untuk buat pembayaran dan kali terakhir kami berhubung dengan mereka pada November tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan.

Eksekutif Pemasaran Mona Dollah, 37, berkata dua pakej percutiannya dibatalkan selepas membuat bayaran deposit sebanyak RM3,000.

“Saya cuba mendapatkan semula wang saya, namun syarikat berkenaan memberikan satu cek tendang.

“Sehingga kini, belum ada lagi tanda-tanda saya akan menerima pulangan wang seperti yang dijanjikan syarikat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan Sosial PPIM Dr Mazlina Abu Bakar berkata, pihaknya yang membuat pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen untuk menawarkan pakej percutian ke luar negara.

Katanya, lesen syarikat berkenaan hanya untuk membawa pelancong dari luar negara masuk ke negara ini.

“Kami sudah menghubungi lelaki yang dipercayai pemilik syarikat berkenaan, dan dia hanya berjanji akan membayar kesemua tuntutan pakej percutian yang dibatalkan.

“Mangsa sudah membuat laporan polis, masing-masing dan setakat yang kami tahu, terdapat 26 laporan polis dibuat terhadap syarikat pelancongan itu," katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 5:35pm
d