mutakhir

Padah sebar gambar lucah ex-girlfriend

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PENGURUS restoran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya di blog.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, mengaku salah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman Blogspot dan Wordpress secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah dengan niat untuk menganiaya orang lain.

Tertuduh didakwa memuat naik kandungan lucah itu pada 16 Jun, 4 Julai dan 7 Julai 2015.

Kandungan itu dibaca mangsa pada 3 petang di rumah di Chendering, di sini, sebelum membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Azman menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Sophian dalam hujahan pendakwaannya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana perbuatannya dianggap sangat jahat dan menghancurkan masa depan mangsa.

Katanya, perbuatan tertuduh lebih kepada dendam kerana cintanya ditolak mangsa.

Berita berkaitan

Angkara cinta terlerai...

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 7:29pm
d