mutakhir

Pelaburan jangka panjang TH

Oleh Aizat Sharif dan Safuri Kamaruddin

PEMBELIAN tanah untuk pembangunan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur pada 2015, bukan untuk membantu membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebaliknya satu pelaburan jangka panjang.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menegaskan yang dakwaan dilemparkan oleh pembangkang itu, bertujuan memburukkan institusi pengurusan ibadah haji terbabit secara menimbulkan keraguan masyarakat yang selama ini, menabung dalam TH.

“Pembelian tanah di TRX itu bukannya untuk membayar hutang 1MDB. Wang pendeposit tidak hilang, sebaliknya ia adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang yang memberikan pulangan yang baik kepada TH dan pendepositnya.

“Jika dinilai secara teliti, harga belian tanah TRX pada tahun 2015 adalah sebanyak RM189 juta atau RM2,774 kaki persegi tetapi nilainya kini sudah meningkat kepada RM205 juta atau RM3,002 kaki persegi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Pakar Daerah Baling yang dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Baling, hari ini.

Pembinaan bangunan tambahan Hospital Pakar Daerah Baling dijangka mampu memberi kemudahan bukan sahaja kepada penduduk Baling, tetapi daerah terdekat seperti Pengkalan Hulu dan Grik.

Selain itu, kesediaan kerajaan meluluskan permohonan pembinaan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak akan dapat memberi manfaat kepada hampir 200,000 penduduk Baling.

Abdul Azeez berkata, peningkatan nilai sebanyak 8.2 peratus berbanding harga belian, menunjukkan TH sudah pun menjana keuntungan hasil pelaburan berkenaan.

“Bagaimanapun, TH tidak akan menjual tanah berkenaan, sebaliknya akan membangunkannya. Melalui pembangunan ini, ia akan memberi pulangan yang baik kepada TH serta hasilnya memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pendeposit melalui hibah tahunan, hibah haji dan subsidi,” katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, menjelaskan pembelian tanah seluas 1.56 ekar di TRX yang juga lokasi premium itu adalah transaksi komersial hartanah yang biasa dilakukan pelbagai syarikat.

Beliau berkata, harga belian RM189 juta yang dibuat pada 2015, adalah di bawah nilai pasaran pada ketika itu, berbanding harga belian oleh syarikat lain.

Katanya, TH merancang untuk membangunkan tanah terbabit dengan nilai pembangunan kasar projek yang dianggarkan berjumlah RM900 juta.

“Pembangunan bersepadu di TRX bakal menjadi sebuah hab kewangan antarabangsa yang merangkumi konglomerat bisnes dan kewangan serta pembangunan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.

“Kami yakin pembangunan ini akan mendapat sambutan yang baik daripada pasaran kerana dibina mengikut keperluan semasa, selain dapat dijual pada harga kompetitif di lokasi premium,” katanya.

Johan berkata, pihak dan individu berkaitan harus berhenti daripada mensensasikan komen serta analisis tidak tepat berbaur politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 11:50pm
d