mutakhir

Usia dah 62 tapi...

Oleh Junaidi Ladjana

PEMANDU van menerima lima jahitan di kepala akibat dipukul dengan paip besi oleh lelaki yang berang selepas ditegur kerana meludah, kelmarin.

Dalam kejadian pada 3.30 petang di Terminal Bas Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu, mangsa, 54, sedang menunggu penumpang sebelum suspek meludah ke arah mangsa lalu ditegurnya.

Berang dengan teguran itu, suspek cuba memukul mangsa dan berlaku pergelutan sebelum lelaki terbabit mengambil paip besi dari vannya menyebabkan mangsa cuba melarikan diri, namun terjatuh.

Difahamkan, suspek memukul belakang badan, lengan dan kepala mangsa dengan paip besi sebelum dileraikan oleh orang ramai lalu mangsa dikejarkan ke hospital oleh rakannya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Karamunsing.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, susulan laporan itu polis menahan suspek, 62, dan merampas paip besi berukuran 51 sentimeter dipercayai digunakan ketika kejadian, semalam.

“Siasatan mendapati pergaduhan itu akibat perselisihan faham sehingga mangsa cedera dan menerima lima jahitan di kepala,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 10:50am
d