mutakhir

Tragedi kereta terbakar

Oleh Asrol Awang

PELAJAR Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbakar di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, pagi tadi.

Bagaimanapun, tindakan pantas Nurafika Bakirah Suhaimi, 21, keluar daripada kenderaannya sebaik menyedari ia berasap, menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kebakaran.

Dia yang dalam perjalanan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang, di sini untuk menjalani latihan praktikal di universiti berkenaan tidak menyangka bahagian hadapan keretanya hangus.

"Sebaik melihat asap keluar daripada saluran pendingin hawa, saya terus memberhentikan kereta dan keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Tetapi saya tidak sangka pula bahagian hadapan kereta mengeluarkan api. Namun, saya bersyukur kerana selamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Nor D Zaini Md Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.29 pagi.

Katanya, dua kenderaan, termasuk sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba lapan minit kemudian.

"Ketika sampai, Perodua Kancil itu terbakar hampir 60 peratus. Pemandu kenderaan bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri selepas mendapati keretanya berasap sebelum terbakar di bahagian enjin," katanya

"Mangsa tidak mengalami kecederaan dan kami berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh lima minit," katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 11:19am
d