mutakhir

'Pembinaan UTC hadiah untuk Teluk Intan'

Oleh Jalal Ali Abd Rahim

KUNJUNGAN Datuk Seri Najib Razak membawa berita gembira apabila mengumumkan pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Teluk Intan yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 500 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam dua fasa, selain meluluskan pemasangan lampu limpah di Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi.

Najib berkata, kelulusan ketiga-tiga projek itu dibuat berdasarkan permintaan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan yang mahu menunaikan janji terhadap rakyat Teluk Intan.

Beliau berkata, UTC adalah inisiatif kerajaan yang sangat popular di mana hampir 70 juta rakyat sudah menggunakan perkhidmatannya di seluruh negara.

“Tak ada mana-mana negara lain (ada UTC), cerah (bagus) UTC ini, bukan macam terowong di Pulau Pinang, tak nampak hujung terowong tetapi UTC memberi manfaat kepada rakyat, jadi saya nak umumkan UTC ini, insya-Allah akan dibuat di Teluk Intan.

“PPR kita akan buat dua fasa, fasa pertama 250 unit dan fasa kedua 250 unit lagi, jadi 500 unit semuanya. Ini saya serah kepada kerajaan negeri, ahli parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk fikir di mana tapak yang sesuai," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucapannya ketika merasmikan pecah tanah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Teluk Intan atau PR1MA@Teluk Intan di Batu 4, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Siew Keong yang juga Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Keong, Pengerusi PR1MA Tan Sri Dr Alies Anor Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Mutalib Alias.

Projek Kerajaan Persekutuan yang dibina Perbadanan PR1MA Malaysia itu membabitkan pembinaan 957 unit rumah PR1MA yang secara keseluruhannya membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM232 juta.

Rumah berharga antara RM180,000 dan RM250,000 itu untuk golongan berpendapatan sederhana (M40) menjadi antara beberapa inisiatif diumumkan Perdana Menteri selepas Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada tahun 2014.

Pelaksanaannya juga sebagai memenuhi komitmen kerajaan negeri Perak pada PRK berkenaan.

Sementara itu, Siew Keong berkata, dalam tempoh tiga tahun rakyat golongan B40 (berpendapatan rendah) di kawasan Parlimen Teluk Intan menerima kunci membabitkan 150 unit fasa pertama PPR.

Katanya, bagi kelulusan UTC yang diumumkan Perdana Menteri itu, ia adalah inisiatif kerajaan BN yang mahu memudahkan rakyat berikutan segala urusan ditempatkan dalam satu bangunan.

“Kita akan cari tapak yang bersesuaian untuk pembinaan UTC bagi warga Teluk Intan supaya mendapat manfaat,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 3:34pm
d