mutakhir

Membina masa depan cemerlang

Oleh Hamizah Badiran

GRADUAN dan pencari kerja di sekitar Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis mula beratur di pintu masuk utama pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) seawal jam 7 pagi untuk menyertai Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia ( SL1M) Peringkat Zon Utara 2018 yang berlangsung selama dua hari.

Menawarkan lebih 9,000 peluang pekerjaan dan latihan, SL1M adalah inisiatif kerajaan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menangani isu pengangguran seraya membantu graduan mendapatkan pekerjaan dan mengubah nasib diri dan keluarga serta masa depan.

Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara 2018 yang berlangsung meriah selama dua hari bermula Sabtu lalu berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Perasmian program berkenaan disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah berkata, usaha dilakukan SL1M amat besar ertinya buat anak muda yang ingin mencari pekerjaan.

“Terima kasih kepada SL1M kerana menyediakan platform ini kepada anak muda untuk mencari kerja. Suka saya ingatkan, graduan tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dan ambillah peluang berharga yang disediakan ini.

“Apa yang penting, pastikan peluang diberikan itu digunakan sebaik mungkin dan serius ketika mengerjakannya supaya mampu mengubah nasib diri serta keluarga,” katanya mengalu-alukan kehadiran SL1M ke negeri jelapang padi itu selepas ini.

Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, usaha SL1M yang tidak jemu turun padang ke setiap zon negeri bagi menghulurkan bantuan dengan tujuan memudahkan graduan dan belia luar bandar mencari pekerjaan.

“Kita di sini untuk membantu mereka, tetapi harus diingat, mereka juga perlu membantu diri sendiri terlebih dahulu supaya ekonomi keluarga dapat ditingkatkan.

“Majikan sudah membuka pintu mereka di SL1M dan graduan perlu mengambil peluang disediakan itu sebaik mungkin.

“Selepas ini kita berehat dua bulan bagi menjalani ibadah puasa dan seterusnya menyambut Syawal. Justeru, bagi graduan dan pencari kerja yang belum berkesempatan mengikuti program ini, mereka masih berpeluang berbuat demikian di peringkat zon timur di Kelantan pada Julai depan,” katanya.

Kedah adalah lokasi ketiga untuk jelajah tahun ini selepas Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah, bulan lalu.

Terdapat 60 syarikat mengambil bahagian kali ini antaranya Maybank, Boustead Holdings Berhad, CCM Duopharma Biotech Berhad, Coway (M) Sdn Bhd, Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

“Sesi temu duga dijalankan secara langsung oleh syarikat terbabit selain graduan serta pencari kerja boleh meletakkan resume sendiri di setiap booth syarikat untuk tindakan lanjut daripada mereka.

“SL1M turut menyediakan ceramah kerjaya, klinik resume, gerai makanan dan minuman, Skuad Operasi Sihat 1Malaysia (SOS1M), cabutan bertuah dan pertunjukan aksi sukan permotoran daripada FIM Asia Supermoto Champion.

“Bagi menarik kehadiran pengunjung, program ini turut menampilkan selebriti tempatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada graduan serta pencari kerja,” katanya.

Antara artis yang hadir ialah Faizal Tahir dan Kumpulan Zero selaku Duta SL1M, Wings, Khalifah, Drama Band, Monologue, Pesawat, Kugiran Masdo, Floor88, Payslip, Atmosfera Band, Ali Puteh Maharaja Lawak dan CK Faizal.

Persembahan bertenaga Wings yang datang ke Kedah selepas 20 tahun menambah kehangatan suasana program apabila pengunjung turut menyanyi bersama legenda kumpulan rock negara itu.

Pemain bass Wings, Eddie berkata, aksi mereka di situ ibarat kemenangan buat Wings memandangkan peminat di Kedah dan kawasan sekitar sudah lama menunggu kehadiran mereka.

“Untuk persembahan kali ini, kami diberi keistimewaan menyanyikan banyak lagu di samping beberapa kumpulan lain. Oleh itu, inilah peluang keemasan buat kami mengubat rindu semua peminat di sini,” katanya.

Selain itu, pengunjung yang membawa anak pula dihiburkan dengan maskot Didi & Friend dan Omar & Hana.

Bagi memudahkan pengunjung, diskaun pengangkutan sebanyak RM6 GrabCar menggunakan kod SL1MKEDAH2018 juga diberikan.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 3:59pm
d